Chong Wei mula langkah kanan
AKSI Mew Choo ketika menentang Shannon Pohl di Stadium Gachibowli di Hyderabad, semalam. |
Mew Choo juga mara
TANPA langsung membenarkan ruang untuk kejutan tercipta, Lee Chong Wei mudah melepasi halangan awal bagi mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Hyderabad, semalam.
Turut mengiringi langkahnya ialah pemain wanita utama negara, Wong Mew Choo, yang juga tidak dicabar ketika melakar antara kemenangan termudah selepas membenam lawan dari Amerika Syarikat, Shannon Pohl 21-4, 21-6 dalam masa 19 minit.
Chong Wei, bagaimanapun diberi tentangan seketika oleh pemain Jerman, Dieter Domke, yang menyaingi rentak awalnya sebelum akur kecundang 14-21, 10-21 dalam tempoh 25 minit.
Kejutan hari pertama dicipta pemain Belanda, Dicky Palyama yang menyingkirkan pilihan ke-11 dari China, Bao Chunlai hasil kemenangan 21-18, 21-14.
Seteru utama Chong Wei, Lin Dan juga tidak bermasalah mara selepas menang 21-9, 21-11 ke atas pemain Israel, Misha Zilberman.
Chong Wei |
Namun, di sebalik aksi mantapnya, Lin Dan cuba untuk mengelak tekanan dengan meletakkan Chong Wei serta pemain veteran Denmark, Peter Gade, sebagai pilihan menjuarai kejohanan.
"Saya tidak anggap diri saya sebagai pilihan untuk menang. Saya rasa Gade dan Chong Wei adalah pilihan. Saya hanya mahu memikirkan perlawanan satu persatu," katanya.
Gade, pilihan ketiga kejohanan, turut mara selepas menang 21-11, 21-16 ke atas Valeriy Atrashchenkov dari Ukraine.
Cabaran dua lagi wakil negara, Mohd Razif Latif-Woon Khe Wei dalam beregu campuran serta Lee Tsuen Seng menerusi perseorangan lelaki, bagaimanapun terhenti sekadar di pusingan pertama.
Razif-Khe Wei kalah 17-21, 21-9, 17-21 kepada beregu Ukraine, Atrashchenkov-Elena Prus manakala Tsuen Seng ditumbangkan lawan dari Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk 7-21, 13-21.
Beregu muda negara, Marylen Ng Poau Leng-Lim Yin Loo turut kalah di pusingan pertama beregu wanita di tangan pasangan Jepun, Matsuo Shizuka-Naito Mami 8-21, 16-21.
No comments:
Post a Comment