Wednesday, July 22, 2009

Mudah buat Chong Wei (kejohanan dunia d India bln dpn)


Oleh Esme Johari Wahab

esme@hmetro.com.my


JIKA tidak dipecahkan rekod mana hendak cipta rekod baru, adalah pepatah terbaik menggambarkan pencarian gelaran juara dunia Datuk Lee Chong Wei apabila diundi bertembung musuh ketat, Lin Dan pada separuh akhir Kejohanan Dunia 2009 di Hyderabad, India, bulan depan.

Chong Wei, pilihan pertama yang juga pemain nombor satu dunia akan membuka kempen menentang Dieter Domke dari Jerman, pada pusingan pertama., berpeluang memperbaharui rekod pertemuan sejak kali terakhir menewaskan juara bertahan China itu pada Terbuka Switzerland.

Selepas dianggap mudah melepasi halangan berikutnya, pusingan ketiga pula bakal menemukan pemain utama negara itu dengan Nguyen Tien Minh dari Vietnam yang pernah menewaskannya di pusingan kedua Terbuka Singapura.

Pada suku akhir, Chong Wei dijangka bertemu pilihan keenam, Sony Dwi Kuncoro, lawan dari Indonesia yang menewaskannya pada Kejohanan Dunia di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Ketua jurulatih perseorangan Malaysia, Rashid Sidek (gambar) menyifatkan lawan sengit kejohanan dunia memang dijangka kerana membabitkan undian pemain pilihan daripada kalangan 64 teratas ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).


“Chong Wei boleh menilai undian dilalui kerana ranking pertama dunia sepertinya perlu berdepan lawan kompetitif untuk mencapai impian menjadi juara dunia. Apa saja boleh berlaku di dalam gelanggang tanpa mengambil kira status.

“Lawan suku akhir, separuh akhir, tidak mudah, tapi saya yakin beliau (Chong Wei) mempunyai cara hadapi lawan pernah ditentang terutama Lin Dan yang juga juara 2006, 2007 serta Sony.

“Mengenai Sony, kekalahan dua tahun lalu cerita lama kerana rekod terbaru jelas memihak kepada Chong Wei kerana dia kini lebih cergas, berada dalam ranking lebih baik dan semangatnya masih tinggi selepas menjuarai Terbuka Indonesia,” kata Rashid.

Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), P Ganga Rao berkata: “Harapan besar diletakkan kepada Chong Wei, tapi saya yakin barisan pemain kita yang lain mampu mempamer aksi terbaik dan positif dengan lawan dihadapi.”

Dua perseorangan lelaki dan dua wanita beraksi adalah Wong Choong Hann, Lee Tsuen Seng, Wong Mew Choo dan Lydia Cheah.

dengan lawan sukar menanti masing-masing seawal pusingan kedua dan ketiga.

Dalam acara beregu, pilihan kelapan, Mohd Zakry Abd Latif-Md Fairuzizuan Md Tazari mendapat bye pusingan pertama, berdepan juara bertahan, Markis Kido-Hendra Setiawan pada suku akhir manakala gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, berdepan beregu senegara veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, juga pada suku akhir.

Ranking pertama dunia wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui berdepan pilihan kelima, Du Jing-Yu Yang dari China pada peringkat lapan terakhir.

No comments: