Monday, July 27, 2009

MALAYSIA BOLEH!!

Kita sedia gempur India


PEI TTY (depan) dan Eei Hui akan turun selaku pilihan pertama dalam acara beregu wanita.



CHONG WEI



KIEN KEAT (depan) dan Boon Heong bertekad untuk melakarkan kejutan pada Kejohanan Dunia di Hyderabad, India.



GANGA yakin dengan kemampuan pemain-pemain negara pada kejohanan tahun ini.


SKUAD badminton negara sudah bersedia untuk menggempur India.
Gelaran dunia menjadi sasaran dan misi untuk merealisasikannya semakin menebal.

Persiapan telah berjalan lancar bagi memastikan Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Hyderabad, India bulan depan dikuasai oleh wira badminton negara.

Begitupun, berjaya atau tidak, semuanya bergantung kepada pemain itu sendiri.

Berdasarkan ranking dan prestasi terkini, pemain negara sebenarnya mempunyai peluang cerah untuk menghadiahkan kejuaraan pertama buat negara.

Pada kejohanan yang akan diadakan pada 10 hingga 16 Ogos itu nanti, Malaysia akan membariskan skuad terbaik dengan diketuai oleh pemain perseorangan lelaki No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei selain beregu wanita yang diletakkan sebagai pilihan pertama, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui dan beregu lelaki pilihan kedua, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Menurut Setiausaha BAM, Ganga Rao, semua pemain tidak harus mempunyai alasan untuk gagal selepas mendapat sokongan penuh daripada persatuan, Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN).

“Kami boleh katakan bahawa kita sudah menyediakan persiapan yang cukup rapi untuk pemain menjelang Kejohanan Dunia bulan depan,” kata Ganga.

“Ketika ini, pemain-pemain negara sudah berada pada persiapan fasa terakhir. Lati- han yang ketat sudah dimulakan sejak lebih tiga minggu lepas dan Chong Wei sendiri menjalani latihan selama seminggu di Korea Selatan.

“Selepas ini, semua pemain negara juga akan beraksi pada Mini Olimpik minggu depan yang merupakan sebahagian daripada latihan.

“Kami di BAM dengan kerjasama MSN dan ISN juga sentiasa menyokong pemain dengan menyediakan apa yang perlu.

“Kami juga turut membawa tukang masak sendiri ke India kerana tidak ingin insiden keracunan makanan terhadap Chong Wei pada Terbuka India, April lalu berulang.

“Kesimpulannya, dari segi pengurusan, pemain tidak perlu bimbang dan tugas mereka hanyalah bermain dengan baik untuk mengharumkan nama negara.

“Selepas apa yang telah kami lakukan, kini terserah kepada pemain sendiri untuk merealisasikan impian bergelar juara dunia.”

Meskipun mempunyai harapan yang besar untuk menyaksikan pemain negara merangkul kejuaraan dunia buat pertama kali tahun ini, namun Ganga mengakui, pemain negara bakal menerima saingan sengit daripada lawan yang mungkin menggunakan taktik tertentu untuk menghalang kejayaan pemain Malaysia.

“Saya gembira kerana kita bukan sahaja mampu untuk meletakkan harapan dalam satu acara sahaja tetapi kita juga mampu untuk memberikan saingan dalam beberapa acara lelaki dan wanita,” tambah Ganga.

“Kita memiliki pemain lelaki dan beregu wanita No. 1 dunia selain Kien Keat-Boon Heong yang diletakkan sebagai pilihan kedua.

“Begitupun, ranking yang baik tidak menjamin laluan yang mudah kerana terdapat pemain lawan yang mungkin menggunakan taktik tertentu untuk menyingkir pemain negara lebih awal.

“Sebagai contoh, pemain China, Lin Dan. Dia mungkin sengaja membiarkan ranking dirinya jatuh bagi membolehkan dia bertemu Chong Wei lebih awal dan mengharapkan perlawanan akhir antara dua pemain China.

“Saya harap, Chong Wei dan semua pemain negara akan berhati-hati dan cuba bermain yang terbaik pada setiap perlawa- nan.”

Chong Wei berpotensi menentang Lin Dan yang diletakkan sebagai pilihan kelima pada pusingan separuh akhir di Hydera- bad.

Jika berjaya menundukkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Beijing 2008 itu, Chong Wei mungkin akan menentang seorang lagi pemain China, Chen Jin yang juga pilihan kedua.

Pei Tty-Eei Hui pula akan menentang beregu Sweden, Emelie Lennartsson-Emma Wengberg pada pusingan kedua selepas masing-masing menerima bye pada pusingan pertama.

Kien Keat-Boon Heong yang juga dianggap sebagai antara taruhan terbaik negara untuk meraih kejuaraan selain dari- pada Chong Wei, turut menerima bye pada pusingan pertama dan mereka berpeluang bertemu beregu senegara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada pusingan suku akhir.

No comments: